mcmc
Berita Setempat

Berita Setempat

 HARI SUKAN NEGARA BATU 14 LEKIR

Sambutan Hari Sukan Negara telah di isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Ia telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 24hb Mac 2015. Pada tahun ini, program sulung Hari Sukan Negara jatuh pada 10 Oktober 2015.

Sambutan Hari Sukan Negara ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro aktif di dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). Oleh yang demikian, Hari Sukan Negara dijadikan agenda nasional yang selari dengan matlamat negara ke arah Wawasan 2020.

Sambutan Hari Sukan Negara bakal diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan Sambutan Hari Sukan Negara tersebut yang akan diraikan secara serentak di seluruh pelusuk tanah air. Semua pihak melalui penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat keseluruhannya akan berganding bahu menganjur dan menyertai program dan aktiviti sukan dan kecergasan pada hari berkenaan.

Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 % berbanding dengan 50 hingga 60 %  di negara maju. Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.

Di Kampung Batu 14 Lekir, program ini telah berlangsung selama satu hari penuh bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang. Program ini disertai oleh hampir seluruh penduduk Kampung Batu 14 dan kawasan sekitar, Tabika Kemas Batu 14 dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Lekir Batu 14. Pelbagai acara sukan telah diadakan seperti pertandingan badminton, acara menembak menggunakan pistol mainan dan pelbagai jenis sukan tradisional. PI1M telah menyumbang 3 acara iaitu; SPORT WORD SEARCHING, SPORT WORD TYPING CONTEST dan Skipping Terbuka. Program ini telah berlangsung dengan meriah dan jayanya. Pelbagai foto menarik telah dirakamkan dan anda boleh merujuk bahagian Galeri Foto untuk melihatnya.